Thursday, July 7, 2011

CABARAN PERKHIDMATAN AWAM

“Berkata salah seorang anaknya (Nabi Syu`aib) : Hai bapaku, ambil dia (Nabi Musa) jadi pekerja, kerana yang sebaik-baik pekerja ialah yang kuat lagi jujur”
(Al-Quran : Al-Qasas: 26)

Y
. Bhg. Tan Sri Mohd Sidek bin Hj Hassan, Ketua Setiausaha Negara telah berucap mengenai Cabaran Perkhidmatan Awam di Majlis  Penganugerahan Fellow INTAN 2006 pada 19 September 2006. Beliau mengatakan bahawa Malaysia daripada sebuah Negara yang pada awalnya bergantung kepada pertanian tradisional, kini Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dengan ekonomi yang pelbagai. Dengan sistem ekonomi yang adil dan seimbang, kualiti dan kesejahteraan kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan secara berterusan.
Beliau seterusnya mengatakan bahawa peraturan dan dasar-dasar yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial telah digubal bukan sahaja untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global, malah untuk mengekalkan kesinambungan pencapaian kecermerlangan negara. Justeru itu, negara pastinya memerlukan anggota yang mampu memainkan peranan sebagai pemimpin, pelaksana, perunding, pacesetter, regulator dan strategic integrator. Peranan-peranan tersebutlah merupakan tanggungjawab dan amanah untuk dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang digubal perlu diperjelas, diterjemah dan dilaksanakan agar boleh mencapai matlamat yang dikehendaki oleh kerajaan. Manakala polisi dan peraturan yang telah lama, perlu dikaji semula. Dalam agenda pembangunan Negara masa kini, Misi Nasional yang menggariskan lima teras utama perlu dijayakan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat dan cita-cita negara.
Pada masa yang sama juga, beliau meminta supaya penjawat awam perlu peka dan sensitif untuk memastikan segala hasrat murni kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dapat dirasai kepentinganntya oleh semua lapisan masyarakat. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menjadi tonggak dalam usaha untuk menterjemah dan melaksanakan agenda ini. Manakala sebagai pakar perunding kepada kerajaan, kita perlu memberikan nasihat terbaik kepada kerajaan dalam menjayakan misi ini. Segala sumbangan anggota perkhidmatan awam adalah untuk menjayakan pembangunan dan menjadikan negara terus cemerlang, gemilang dan akhirnya terbilang. Kita sewajarnya berbangga apabila masyarakat memuji prestasi pencapaian perkhidmatan awam, tetapi paling utama kita akan lebih merasai kepuasannya apabila setiap titik peluh dari usaha yang dicurahkan dapat dinikmati hasilnya oleh semua pihak. Ini bermakna sumbangan anggota perkhidmatan awam sewajarnya perlu dirasai dan tidak sekadar dilihat. 
Bagaimanapun keadaan dan persekitaran negara telah berubah dengan begitu ketara sekali. Ekonomi negara yang terbuka menyebabkan kita perlu bersaing dalam pasaran global yang amat pantas dan kompetitif. Teknologi maklumat dan komunikasi telah mempercepat dan memperluaskan urus niaga. Manakala kaedah pertumbuhan berintensifkan buruh dan modal telah bertukar kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan pengetahuan. Oleh itu, perubahan sikap dan cara bekerja anggota perkhidmatan awam adalah perlu untuk menyaigi kepantasan perubahan yang dicetuskan oleh globalisasi, kemajuan teknologi maklumat dan persaingan sengit antara Negara. Oleh yang demikian, anggota perkhidmatan awam perlu menyahut cabaran ini agar tidak terpinggir dari arus perubahan yang berlaku. Kita tidak boleh lagi menjadi pemerhati serta bersikap pasif atau tunggu dan lihat kepada perubahan perubahan yang pantas berlaku di sekeliling kita. Oleh itu, perkhidmatan awam perlu dibarisi dan dianggotai oleh pegawai dan kakitangan yang benar-benar berketerampilan, profesional dan berwibawa. Kualiti modal insan perkhidmatan awam inilah yang menjadi penentu kepada kejayaan masa depan negara.
Sehubungan dengan itu, beliau telah mengambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman bersama pegawai-pegawai muda dengan mengutarakan beberapa saranan yang perlu dihayati, iaitu :

(i)              Ketaatan
Selaku anggota perkhidmatan awam, kita harus memegang kepada prinsip taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah. Selagi kita dinamakan servant to the government, kita perlu membuktikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa menjaga nama baik dan imej perkhidmatan dari segi kelakuan dan percakapan. Segala rahsia kerajaan haruslah dipelihara dan tidak disebarkan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.

(ii)            Integriti
Sebagai penjawat awam, kita juga perlu menghayati dan mengamalkan Etika Perkhidmatan Awam dan nilai-nilai murni agama. Tiada gunanya kita pesat membangun dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi moral, etika, akhlak       dan peribadi mulia. Elemen  integriti sering dikaitkan dengan anggota perkhidmatan awam kerana jawatan yang kita pegang sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kuasa yang diamanahkan. Kuasa yang diberi adalah untuk membolehkan kita melaksanakan pembangunan Negara dan kebajikan rakyat. Oleh demikian, kita memerlukan pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi. Dalam perkhidmatan, kita tidak memerlukan apa yang dikatakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sebagai “Little Napoleon”. Perkhidmatan kita perlu mempermudah urusan semua pihak termasuk swasta dan rakyat kerana civil service role is to facilitate and not to frustrate. Pegawai yang berintegriti akan membudayakan sikap adil, terbuka, berterus terang dan telus dalam membuat sesuatu keputusan. Oleh itu, integriti dapat menghindarkan gejala negatif dan menolak persepsi yang kurang baik dari pihak luar.

(iii)           Budaya Kerja Cemerlang
Peningkatan mutu perkhidmatan awam bergantung kepada budaya kerja. Budaya kerja cemerlang akan menggalakkan pembangunan diri pekerja dalam memberikan sumbangan terbaik kepada organisasi dan Negara. Dalam melakukan setiap kerja yang diarahkan, kita perlu memaksimumkan sumbangan kita. Kita tidak boleh memberi alasan atau melengah-lengahkan sesuatu arahan sebaliknya perlu mempunyai “sense of urgency” kadangkala dalam keadaan-keadaan tertentu “just do it” apa jua yang dipertanggungjawabkan. Namun untuk membuat keputusan yang bijaksana biasanya mendapatkan pandangan semua yang terlibat. Oleh itu, proses musyawarah atau consultation perlu diterapkan dalam setiap tindakan dan keputusan yang bakal kita ambil. Konsep musyawarah ini tidak semestinya hanya melibatkan pegawai-pegawai sejawatan, malah dengan kakitangan bawahan dan juga dengan orang ramai yang menyuarakan hak dan tuntutan mereka. Meskipun diakui kita tidak berupaya untuk memuaskan hati semua orang tetapi kaedah ini membolehkan kita memperolehi penyelesaian yang dapat diterima oleh semua orang.

(iv)          Perkhidmatan Melangkaui Kebiasaan
Anggota perkhidmatan awam yang berwibawa akan dapat melaksanakan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan memuaskan hati semua pihak. Oleh itu, sasaran perkhidmatan kita sekarang bukan sekadar up to the expectation tetapi seharusnya menuju perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan atau service beyond the ordinary. Dengan itu, kita perlu menjadikan sikap bekerja melampaui kebiasaan ini sebagai satu kemestian sekiranya kita mahu mencapai taraf perkhidmatan awam yang bertaraf dunia.  

(v)            Peningkatan Kompetensi
Memandangkan sumber manusia sektor awam pada masa kini menuju kearah pembentukan pekerja berilmu (k-workers), maka tahap kompetensi akan menentukan peluang peningkatan kerjaya seseorang penjawat awam. Dalam proses ini, penjawat awam perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kompetensi, iaitu multi tasking dan multi skilling. Sehubungan itu, seharusnya dimaklumkan bahawa sistem kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam hari ini juga telah berubah, iaitu bukan lagi bergantung sepenuhnya kekananan atau senioriti sebagaimana yang diamalkan suatu ketika dahulu. Kebelakangan ini, kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam berdasarkan prinsip merit sebagaimana termaktub dalam Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan dan Kenaikan Pangkat dan penamatan Perkhidmatan) 2005. Dalam hal ini, merit seseorang pegawai dinilai melalui prestasi masing-masing dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu, kerana dari segi perlaksanaannya, ia telah dipraktikkan. Oleh yang demikian, saudara-saudari hendaklah sentiasa sedar mengenai prinsip ini dan seterusnya berusaha memberi perkhidmatan yang paling bermakna menggunakan kemampuan yang dimiliki. Pendek kata, sewajarnya prinsip merit yang dinyatakan ini menjadi cendorong kepada saudara untuk memberi perkhidmatan yang mempunyai hasil atau impak yang dihargai dan disanjung tinggi. Sebagai penjawat awam, kita janganlah membuka ruang untuk kewibawaan kita dipertikai oleh mana-mana pihak hanya kerana kita tidak memiliki kompetensi yang perlu dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita.

      Beliau juga menyatakan bahawa tugas memegang amanah rakyat dan Negara memerlukan kita sentiasa bermuhasabah atau menilai diri kita sendiri. Kita perlu bertanya diri sendiri, samada kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna atau tidak. Sekiranya kita mendapati berlakunya performance atau competency gaps, kita perlu mencari langkah-langkah tertentu untuk memperbaiki diri dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Sikap positif ini akan membolehkan kita mengikis kelemahan dan mengasah kekuatan. Beliau seterusnya berkeyakinan bahawa pembangunan modal insan akan memberi manfaat yang besar kepada perkhidmatan awam. Kejayaan negara kita pada hari ini juga berkat perancangan pembangunan modal insan yang teratur oleh pemimpin terdahulu. Kita lahir hasil  daripada kesungguhan mereka untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan itu dapat diteruskan. 

        Ucapan Y.Bhg. Tan Sri KSN mengenai cabaran perkhidmatan awam adalah amat bermakna dan memberi pengertian yang amat besar kepada semua warga perkhidmatan awam dalam memikul amanah rakyat. Saranan dan nasinat beliau itu merupakan satu asas yang boleh dijadikan pedoman oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan, malahan juga sebagai satu cabaran dan penanda aras dalam menggalas tanggungjawab berbakti kepada rakyat dengan itqan. Kita juga boleh merujuk kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi dimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ”Bahawasanya Allah mencintai seseorang diantara kamu yang melakukan suatu pekerjaan, hendaklah ia menyempurnakannya”

No comments:

Post a Comment